Saturday, 11 June 2016

Sajak malam tadi


Ada orang merungut tentang buku langka yang mahal
ada orang menulis soal sajak tak perlukan perkataan rumit
ada orang menjatuhkan air mata pada lengkung bulan sabit dan syurga di bawah telapak kaki ibu.

Aku memilih berada di atas bumbung rumahmu
menjadi cahaya bulan dan kata-kata sajak gugur sebagai air mata
mencipta syurga sendiri pada lengkung bulan
dan membiarkan buku langka cetakan pertama terus mahal


Aku ambil bulan sabit dan rapatkan kedua bucunya
cahaya membulat penuh tanpa menghukum
sesiapa yang terpilih untuk gembira.

PJ080616

Thursday, 6 June 2013

Cari kamu

Carilah jika mahu ketemu;
setiap titik darahmu
tetap bergabung
berupa apa kau mahu
dan cari.

carilah kamu
pada sisi-sisi beda;
ia tidak sama rumus matematik
seperti ketaksamaan linear
dan pencarian bukan sebentar
atau semudah membaca sajak cinta

ya carilah kamu
di mana-mana kemahuanmu
dan ketemu
biar pertanyaan terus menikam
terus bertanya
sama dengan apa, kamu.


-Jalan Gangsa, Alor Setar



Wednesday, 29 May 2013

sajak-sajak yang tak sempat kutulis

lama sekali kau tidak datang bertanya khabar
dan aku yang membiarkan.

lalu banyak soal tergantung
tanpa jawapan
lewat sajak kesimpulan
aku bagai dikunci segala kata
malah sengaja.

dan kau akhirnya meronta-ronta
memalu jiwa sekali gus menghukum
juzuk-juzuk fikir;
kau
mengetuk kembali percintaan kita
disela-sela huruf yang sama
sajak-sajak yang tak sempat kutulis
ah!

-NFG/29052013/Jalan Gangsa, Alor Setar-

Thursday, 4 October 2012

Sayang, senyumlah kepada negara.



cintamu berupa apa sayang
saat pemimpin selesai isytihar bajet
kau tidak senyum untuk negara
tidak senyum bonus kepadaku
aku langsung kaget

cintamu mengapa sayang
duapuluhtiga tahun umurmu
senyumlah
negara bukan pemberi kerja saja
aku juga pernah nganggur
senyumlah pada cita-cita
kau bisa gapainya
tanpa tertera dibajet kabinet
negara bukan sekadar itu
pasti kita jua pemilik

cintamu bagaimana sayang
harus kita telan belanjawan
sara hidup yang singkat
nescaya kita juga bisa pakai
kereta lemah nan mahal harganya
minyak yang subsidi gila parasnya
senyumlah sayang untuk negara
pemimpin sudah selesai membaca bajet
kita tahu sifirnya sama dengan apa.

Sayang cintamu sampai bila
saat para menteri sedang ketawa
senyumlah padaku
esok kita belanja di kota
usah kau sangsi naik turun cukai
bonus-bonus negara ada di sana
juga gula yang kau suka.

sayang, senyumlah untuk negara
berupa apa pun cintamu.

Friday, 8 June 2012

cinta lelaki tanpa tajuk

akulah lelaki kurus yang sugul
tak puas bercinta dengan kata-kata
perempuan tersayang, aduh.

Sunday, 3 June 2012

Lukisan kosong

lukisan kosong telah  kuhadiahkan kepada angin
musim kemarau yang lepas ia menjadi warna kelabu
beku dan dingin
tidak kau seperti dulu-dulu
semalam yang tiada

sejahteralah sebidang kanvas tanpa corak
ia kita sentuh; kita catkan dengan senyum
saling menjadikan warnanya tetap kelabu bagai awan mendung
tak berarak
kosong masih persis semalam.

kau berdiamlah di sudut itu kerana aku pun sedar
pada sepotong ilham sekadar warna ia menjadi tanda
seni yang begitu sifatnya;
ini bukan tanda percintaan panjang
bukan sederhana dalam perjuangan
kerana belum kita lukis peribadi jiwa
arah gelandangan

ke mari. berikan aku secalit warna putih
akan kukosongkan lagi lagu kasmaran kita
seperti irama lalu
beku dingin dan tidak rata
tidak kau seperti dulu-dulu lagi
semalam yang jauh.

lukisan itu simpanlah ia
menjadikan kosong semata. derita
atau cinta.



Saturday, 2 June 2012

Biar aku lena di gebu pipimu (chewwah)

bukan aku keterlaluan memilih ranjang
hingga kau bermimpi di singgahsana bulan
saat cahayanya sebahagian kuning bersalut wap dingin
ada aku betah menggelupur dan bertahan
dan air matamu menjadi mahal
untuk jatuh ke lantai
kuseka alirnya menjadikan sajak
demi sajak.

ah.

#Kau

antara kira adalah rahsia waktu
bercakar mahupun berdansa.

kerana telah kita tulis satu  per satu
keinginan menakluk jawapan
atas pertanyaan yang menekan
kata-kata tulus lagi pahit
bisa bersatu sebagai ikhlas.

dan masa lalu semakin lama berubah
seperti rambutmu nanti
juga kumisku akan faham
makna kepada jawapan tuhan
dikirimkan perlahan dan halus

;kau

Thursday, 22 March 2012

Sejumud sayang selubang celana.

sayang kau ada di waktu terluang-cuma
ketika seluruh kenangan kita
yang terpendam di benang celana-lusuh
oleh daki yang dibasuh
waktu dan diamku

kesementaraan ini akan pergi
benang bertali-tali merakam segala
bagai
hidup untuk bercinta
dengan merah-merah manja-warna
sekadar warna percuma, begitu?

diamku bermaksud
akrab berlayar rasa
jumud waspada-di dada
kubentang perkasa
sajak sia-sia telah hilang-makna
ilustrasinya

sayang ke mana kita-berpaut
kerana celana berlubang-lubang
takkan terganti
sesuci bayi pun.

Tuesday, 10 January 2012

Sajak lu-gua

lu keras kepala angin macam bijak
berlagak macam tak. gua sembunyi
perasaan bangang malas melayan lu
orang tinggi hati gua jaga terdaya
sekarang minta maaf terlambat lu.

gua bukan tukang ikut kata ya lu saja
tengok waktu bersilang atau bercanggah
situasi tidak selalu serupa, lu ingat.
langit memang tinggi tak selalu cerah
gua tak takut rebah lu jangan fikir
tak akan rebah.

lu bikinlah apa lu ada
gua malas nak kisah
gua cabut lu nak kata lupa diri
lu boleh. terima kasih.

Tuesday, 6 December 2011

Disember, akulah Romeo

Juliet telah mati
ketika disember
aku menjadi Romeo
seorang perindu
sajak-sajak kekasih.

Hujan hujung tahun
berbau kenangan
novel-novel hidup
beku
di penjuru jawapan
lukisan cinta.

Akulah Romeo
dan kau bukan Shakespeare
bukan juga butiran hujan
tapi aku tetap perindu
Juliet yang pergi
sajak-sajak kekasih
dirampas waktu.

Disember
waktu lepas
kekasih
sajak-sajak
akulah Romeo
tanpa Shakespeare
dan skrip-skrip cinta
Juliet yang mati
akulah perindu
dirampas waktu
dan bau hujan.

Saturday, 19 November 2011

GilaCinta II

matahari sedang membakar senja
ketika seorang pemuda
melafaz cinta di tasik buatan
Putrajaya
kanak2 berusia tujuh tahun
berhenti bermain kereta kawalan
jauh
dan menjadi saksi bersama
matahari dan alat kawalannya.

pemuda itu berkata;
"dik, cintaku jutaan kilometer
lebih jauh dari kemampuan keretamu
pergi. Hanya buat kakakmu"
anak kecil itu membuang permainannya
ke dalam tasik.

anak kecik itu berkata;
bang, belikan kakakku kereta,
tidaklah aku bersusah payah
naik komuter-tambang teksi
ke sini lagi.

matahari pun sembunyikan diri.

Monday, 3 October 2011

GilaCinta



marilah cinta, marilah
kan kubawa kau
naik kapal terbang
dan menjamah kepulan
awan Tuhan.

ayuhlah cinta, ayuhlah
kita tidur di hotel
bintang lima
kita menari di atas
tilam sutera
kemudian bermanja hingga
lupa dunia.

gilalah cinta, gilalah
nescaya
aku tak akan
merawatmu.

Thursday, 29 September 2011

Perempuan berkaki empat

setelah air mata mengalir
sedikit dan menjadi
tahi
mimpi tidak berulang
dengan mudah

di sisi kekasih
bergelimpangan rasa
perempuan menjadi cermin
malam yang galau
kekasih plastik
bisu menyemak
sisa cinta
perempuan berkaki empat
dikasihinya kedua-dua
kepala.

Tuesday, 20 September 2011

Telanjang waktu

musim pergi
memasak sejarah
hangit dengan percaya

orang rugi
tertinggal tuah
waktu dipersalah
kemudian bogel
sebagai tulah
dan semakin
ditelanjang
sia-sia.

Sunday, 14 August 2011

Bulan cinta pertama

Warna malam berubah merah
selaksa jiwaku terbelah
bulan jingga tersipu-sipu
ketika aku di panah cahayanya
di panah resah cinta lalu.

asmara purnama
terkedu
di sanggah prasangka
waktu
hari muram
seperti wajah lelaki
kehilangan cinta
pertama.


Wednesday, 10 August 2011

KataBersama

sudah ratusan malam kita lewat
bersama
kita jamah bulan ketika ia penuh

air di tasik kelam
dengan cahaya bulan bergabung
menjadi alun-alun udara

kita kekasih alam
tuhan jadi saksi
bersama.

Tuesday, 9 August 2011

KataLelaki

perempuan, berikan aku kesucian seperti suci seorang ibu
ada surga padanya.

ayuh jadikan aku warna ajaib
seperti warna angin yang menerpa

di bibir merahmu.