Thursday 6 June 2013

Cari kamu

Carilah jika mahu ketemu;
setiap titik darahmu
tetap bergabung
berupa apa kau mahu
dan cari.

carilah kamu
pada sisi-sisi beda;
ia tidak sama rumus matematik
seperti ketaksamaan linear
dan pencarian bukan sebentar
atau semudah membaca sajak cinta

ya carilah kamu
di mana-mana kemahuanmu
dan ketemu
biar pertanyaan terus menikam
terus bertanya
sama dengan apa, kamu.


-Jalan Gangsa, Alor Setar



Wednesday 29 May 2013

sajak-sajak yang tak sempat kutulis

lama sekali kau tidak datang bertanya khabar
dan aku yang membiarkan.

lalu banyak soal tergantung
tanpa jawapan
lewat sajak kesimpulan
aku bagai dikunci segala kata
malah sengaja.

dan kau akhirnya meronta-ronta
memalu jiwa sekali gus menghukum
juzuk-juzuk fikir;
kau
mengetuk kembali percintaan kita
disela-sela huruf yang sama
sajak-sajak yang tak sempat kutulis
ah!

-NFG/29052013/Jalan Gangsa, Alor Setar-